Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Selasa, 5 Ogos 2008

Ahli kubur tidak gembira PAS tidak makmur markas


Sebelum Pakatan Rakyat mencapai kemenangan yang agak besar dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar atau dikenali Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur antara tempat popular kepada parti pembangkang terutama PAS dan PKR.

Bagi DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam juga ia bukanlah tempat yang asing kerana pemimpin mereka pernah berceramah bersama PAS di pentas Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, di situ.
Malah bukan mahu bermegah untuk mengatakan Taman Melewar dikenali rakyat Malaysia kerana pusat tarbiyah tersebut.
Perlu diingatkan di sini bahawa artikal ini tidak menyebut markas kerana ada pihak tidak gemar dengan perkataan tersebut dikatakan ada unsur ketenteraan. Menurut bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Hasan Shukri cadangan awal menggunakan perkataan balai bagaimana pun keputusan rasmi mahu dipanggil markas.
Oleh kerana ada pro dan kontra yang tidak memberi keputusan maka lebih baik ia dipanggil Pusat Tarbiyah walaupun ada setengahnya memanggil TM mungkin singkatan daripada Taman Melewar merujuk kepada Markas PAS di tempat tersebut.
Pusat tarbiyah cukup sinonim dengan rakyat marhaen kerana ia adalah tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala Lumpur kepada orang kampung yang mahu melancong atau berurusan di kota raya.
Hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas pendaftaran luar Kuala Lumpur dan Selangor serta bas sekolah didapati di situ menandakan rombongan singgah dan bermalam di pusat tersebut. Pihak pusat tarbiyah hanya mengenakan RM1 seorang untuk air dan elektrik.
Satu ketika dahulu pusat tarbiyah adalah persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di Lapangan Antarabangsa Subang. Ketika itu Tabung Haji Kelana Jaya belum wujud.
Individu yang ada urusan memerlukan beberapa hari tinggal di Kuala Lumpur tentu mengeluarkan perbelanjaan besar jika bermalam di hotel tetapi bagi yang kekurangan kewangan pusat tarbiyah adalah tempat alternatif.
Baru-baru ini semasa Protes menganjur perhimpunan protes minyak ramai yang tidak dapat bermalam kerana pusat tarbiyah berkunci sedangkan semasa demontrasi 'Bersih' sebelum pilihan raya umum lalu, mereka tidur dan makan di situ beramai-ramai.
Ada yang kata selepas menang, orang PAS sudah mampu tidur hotel, tidak perlu lagi tidur di pusat tarbiyah tetapi dibalas oleh sahabat katanya, "Yang menang PAS dan pemimpin, mereka dapat imbuhan tetapi penyokong tetap motong getah. Menang pun duit tak bertambah, macam mana nak tidur hotel?"
Begitu besar peranan pusat tarbiyah PAS terhadap amalan khidmat kebajikan yang sudah lahir sebelum manifesto kebajikan PAS yang dilancarkan dalam pilihan raya umum lalu lagi.
Dengan nama tarbiyah maka menjadi tanggungjawab sebagai tempat mendidik ahli dan penyokong PAS. Malah rakyat umum juga mendapat maklumat dan ilmu daripada ceramah yang sering dianjurkan di situ.
Pada sebelah malam selepas solat Maghrib pula diadakan kelas fardhu ain meliputi pelbagai ilmu seperti tafsir al-Quran, pengajian hadis, jenayah syariah, politik dan lain-lain oleh tenaga pengajar daripada bermacam aliran yang meluaskan lagi pengetahuan orang Islam.
Malah ada mencadangkan pusat tersebut diluaskan lagi fungsinya sebagai pusat setempat (one stop center) dan komersil yang memberikan banyak kemudahan seperti pusat khidmat awam, surau yang selesa, kedai makan yang kemas, kedai peralatan ibadah yang lengkap atau mungkin boleh wujudkan Ar-Rahnu serta cawangan ATM bagi mana-mana bank.
Paling utama kata mereka sebagai pusat sumber memuatkan bahan berkaitan PAS seperti arkib di samping bahan rujukan awam yang boleh diekses oleh pelbagai lapisan umur, daripada orang awam, pelajar sekolah sampai kepada pensyarah. Ia juga boleh dijadikan kawasan riadah keluarga dengan adanya 'playground' untuk kanak-kanak.
Sebaliknya, kemenangan besar PAS dalam pilihan raya umum lalu melupakan sumbangan peranan pusat tersebut sebelum ini yang megah berdiri hasil daripada sedekah orang ramai. Sambutan kemenangan tidak lagi diadakan di situ berbeza dengan selepas sahaja pilihan raya umum sebelum itu.
Bangunan bernilai lebih sejuta ringgit akhirnya sepi selepas dipukul ribut kencang yang menyebabkan bumbungnya bergulung melayang. Ia telah diperbaiki tetapi berlaku kebocoran akibat kerja pemasangan atap yang tidak ada kepakaran.
Bangunan bertambah usang dan aktiviti seolah dimatikan terus menutup rezeki orang lain. Jasa mereka yang bertanggungjawab dan banyak mengorbankan tenaga dan masa kerana perjuangan dan pusat itu, tidak dihargai.
Sepatutnya kemenangan bukan penghalang memakmurkan pusat tarbiyah daripada terus membazir bagi orang ramai mendapat pahala dunia dan akhirat. Mereka melabur wang untuk saham akhirat di tanah dan bangunan itu ada yang berniat waqaf kepada si mati supaya ahli kubur dapat pahala berterusan.
Daripada Saad bin Ubaidah ra bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Ummu Saad (ibu Saad) telah mati. Maka apakah sedekah yang paling banyak pahalanya?" Nabi menjawab: "Air." Kemudian Saad menggali perigi dan katanya: "Telaga ini adalah bagi Ummu Saad."
Saad berniat mewaqafkan perigi itu kepada ibunya yang telah meninggal dan Rasulullah s.a.w. menjanjikan pahala yang banyak kerana telaga tersebut dimakmurkan kepada orang ramai yang memerlukan terutama musafir.
Pusat tarbiyah yang telah dibina sejak 1983 bukan sahaja menerima sumbangan wang malah tenaga kerja kerana ia didirikan secara gotong royong pada peringkat awalnya. Satu cawangan PAS dipertanggungjawabk an menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jangkaut untuk menggali lubang tapak asas.
Memandangkan sungutan ramai itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengambil langkah akan mengadakan ceramah Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu pada 3 Ogos ini di pusat tersebut.
Langkah Idris itu sekurangnya mengubat kerinduan orang ramai yang sering tertanya bila lagi mahu diadakan program di pusat tarbiyah tersebut. Mereka juga mengharapkan aktiviti majlis ilmu dapat diteruskan dan memakmurkan bangunan tersebut dengan tazkirah dan solat tarawih menjelang Ramadan ini. - mns_