Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Isnin, 10 Januari 2011

HARI PERTAMA PASTI AS SALAM 2011

PERUTUSAN SEMPENA SESI PERSEKOLAHAN 2011
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w.,para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Di Malaysia, perkembangan institusi pendidikan prasekolah memperlihatkan kepesatan dengan tertubuhnya pelbagai prasekolah dengan visi, misi serta pendekatan yang tersendiri. Kepelbagaian tersebut menunjukkan bahawa pendidikan prasekolah semakin mendapat perhatian dan sambutan daripada ibu bapa lantaran keperluannya dalam membangunkan modal insan sejak dari awal lagi. Kewujudan PASTI membangunkan pendidikan di peringkat prasekolah dan Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah (FAFFAH) adalah bertujuan mengembalikan kefahaman dan keyakinan ibu bapa bahawa anak-anak wajib diberi pendidikan awal Islam sebab kita berpegang kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w bahawa anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci lagi bersih manakala pendidikan yang kita berikan akan mencorakkan diri dan kehidupan mereka.

Saya mengambil kesempatan pada ruang ini untuk mengucapkan selamat datang kepada semua murid yang mendaftar ke semua cawangan PASTI di seluruh negara. Saya yakin dan percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan membuat keputusan untuk menghantar anak-anak belajar di PASTI kerana memahami bahawa pendidikan awal Islam merupakan satu ruang yang amat berkesan untuk membangunkan rohani, fizikal, intelek, emosi dan sosial anak-anak menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga merupakan manifestasi keyakinan ibu bapa terhadap kemampuan pihak pengurusan dan guru melaksanakan amanah yang diberikan oleh mereka.

Oleh itu, saya mengharapkan semua pihak yang terbabit secara langsung dalam organisasi dan sistem pendidikan ini agar terus melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan baik, istiqamah dan berkesan. Terima kasih atas kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan.Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak pengurusan dan guru-guru PASTI cawangan di seluruh negara yang bekerja keras membuat persiapan bagi sesi persekolahan 2011 ini. Semoga kita dapat menguruskan PASTI kita dengan penuh rasa tanggungjawab, memberi pendidikan yang terbaik kepada murid-murid kita dan menjayakan program-program yang telah dirancang di semua peringkat seperti Sambutan Hari Guru, Sukan PASTI, Ihtifal dan lain-lain lagi. Penglibatan ibu bapa dan masyarakat amat kami alu-alukan bagi menjadikan sistem pendidikan PASTI sebagai sistem pendidikan umat yang terbaik.

Sekian, terima kasih.

Yang melaksanakan amanah,


AZRIN BIN AB. MAJID
Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia



Sabtu, 1 Januari 2011

AJK MTD N24 BEMBAN DITAHAN POLIS

Bandar Hilir, Melaka : 3 orang pemimpin Dewan Pemuda PAS Jasin Yang juga ajk mtd n24 bemban ditahan Polis di Dataran Ayer Keroh awal pagi tadi atas tuduhan mengedarkan risalah tanpa permit yang melanggar akta mesin cetak dan penerbitan.


Ketiga-tiga mereka termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Aminuddin Abdul Jalil (gambar), 40; Bendahari Dewan Pemuda PAS Jasin/AJK MTD Bemban Rashidi Ismail, 32 dan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS/AJK MTD N24 bemban Jasin, UstazDaud Dalip, 24.

Mereka telah ditahan pada jam 12.15 pagi tadi selepas selesai mengedarkan risalah di Dataran Ayer Keroh pada Program Ekspedisi bertemu rakyat sempena sambutan tahun baru 2011.

Aminuddin berkata sebaik sahaja selesai mengedarkan risalah mereka telah ditahan oleh seorang Pegawai Polis, ASP Mohamed Yusoff Basha dari Balai Polis Ayer Keroh.

"Kami telah disoal siasat di Balai Polis Ayer Keroh sehingga jam 2.45 pagi dan dipindahkan ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Bandar Hilir".

"Soal siasat tersebut berlangsung sehingga jam 12.00 tengahari baru kami dibebaskan dengan jaminan Polis" kata Aminuddin yang juga merupakan bekas Calon PAS Dun Sungai Rambai pada Pilihanraya Umum 2008.

Menurutnya, penahanan itu tidak melemahkan semangat beliau dan rakan-rakannya untuk terus membongkar segala penyelewengan dan salah laku kerajaan negeri Melaka dan kerajaan pusat.

Beliau berkata demikian sebaik dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini petang ini.

Daud dalam kenyataannya pula kesal dengan tindakan Pegawai Penyiasat Polis yang tidak membenarkan mereka menunaikan solat subuh sehingga waktu solat hampir habis baru dibenarkan.

"Saya minta untuk solat subuh tetapi Polis tidak benarkan sehingga 5 minit hendak habis waktu baru saya dibenarkan untuk solat subuh".

"Ini merupakan satu tindakan yang zalim dan melanggar hak asasi saya sebagai orang Islam, lebih malang lagi Pegawai itu pun Islam juga" kata Daud dengan nada kesal.

Rashidi pula berkata tindakan Polis menahan mereka merupakan tindakan yang tidak masuk akal kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan lebih-lebih lagi rakyat Malaysia sepatutnya bebas menyuarakan pandangan dan idea masing-masing.

"Kami tidak menerima sebarang bantahan atau cemuhan dari para pengunjung Dataran Ayer Keroh itu, cuma pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ) yang bersikap kasar menghalau kami".

Menurutnya penahanan beliau bersama rakan-rakannya ini merupaka satu pencabulan kepada kebebasan bersuara rakyat dan ini melambangkan bahawa negara kita adalah sebuah negara yang tidak bebas dan sentiasa mencengkam rakyat.

Kira-kira 30 orang pimpinan dan ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka hadir pada program Ekspedisi Dakwah yang bermula pada jam 11.00 malam tadi. Program tersebut diketuai sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek.