Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masuk hari kedua, hari ini, kecoh kira-kira setengah jam apabila wakil rakyat pembangkang cuba mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, atas dakwaan terbabit dengan politik wang.
Usul itu cuba dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang dari DAP, Goh Leong San, sebaik persidangan disambung semula kira-kira jam 11.35 pagi selepas berhenti rehat.
Menurut Goh, usul tergembar itu berbunyi "Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan mengarahkan suatu undi tidak percaya diadakan terhadap Ketua Menteri Melaka pada persidangan yang berlangsung pada 20 hingga 23 April 2009, kerana penglibatan beliau dalam politik wang semasa pemilihan parti menunjukkan perbuatannya yang tidak beretika, tidak bermoral dan tidak menyenangkan telah menyebabkan rakyat Melaka kehilangan keyakinan serta meragui integriti terhadapnya".
Bagaimanapun, cadangannya itu ditolak Speaker DUN, Datuk Othman Mohamad.
Susulan itu, berlaku pertikaman lidah membabitkan sekurang-kurangnya lapan wakil rakyat mewakili kerajaan dan pembangkang.
Dalam kekecohan yang kelihatan hampir tidak terkawal itu, pelbagai isu termasuk mesyuarat bawah pokok di Perak dan kes penyebaran gambar separuh bogel Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong, dibangkitkan.
Kekecohan itu hanya selesai selepas Speaker meminta Mohd Ali meneruskan usul ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, kira-kira jam 12.12 tengah hari.
Pada 17 Mac lepas, Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan tindakan melarang Mohd Ali, yang ketika itu Naib Presiden Umno, bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas lembaga itu mendapati beliau bersalah melanggar Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno.
Rayuan Mohd Ali untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin itu turut ditolak oleh Panel Rayuan Umno pada 20 Mac.
Keputusan yang diumumkan oleh Othman telah menimbulkan rasa tidak puas hati Goh dan empat lagi anggota DUN dari DAP dengan mereka mendesak Othman membenarkan usul tergempar itu dikemukakan dan dibahaskan pada persidangan itu.
Dalam masa sama, anggota dewan dari Barisan Nasional yang menjadi penyokong kerajaan mendesak Speaker menolak usul tergempar itu.
Sambil mengarahkan semua anggota dewan bertenang dalam "perang mulut" kirakira 20 minit itu, Othman berkata:
"Saya telah tolak usul ini awalawal lagi kerana Yang Berhormat dari Kesidang (Goh) membuat tuduhan, dia kata Ketua Menteri terlibat dengan politik wang, cuba baca kenyataan Tengku Ahmad Rithauddeen (beliau) tak pernah sebut politik wang hanya etika parti," katanya.
Othman kemudiannya meminta Mohd Ali mengemukakan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob kerana sudi menyampaikan ucapan perasmian pembukaan persidangan dewan itu, semalam.
Mohd Ali berkata DAP mengemukakan usul tergempar itu kerana mahu mendapat publisiti murahan.
"Kalau saya nak sebut DAP kerja rasuah pun banyak juga tapi itu hal DAP kita tak nak campur.
"Saya tidak terlibat dengan rasuah pun dalam Umno. Ini saya telah sebutkan tetapi Jawatankuasa Disiplin telah menyatakan saya bersalah dan tidak boleh bertanding (jawatan Timbalan Presiden Umno), jadi saya akurlah dengan keputusan parti saya. Ini tidak ada kaitan dengan DAP," kata Mohd Ali.