Perlembagaan : Formula Terbaik Penyatuan PAS - DAP
Perbahasan demi perbahasan tentang Negara Islam semakin hebat. Bermula dengan hasrat dan cadangan Pas membawa kepada rentetan yang meleret tidak ketentuan. Idea-idea bernafsu dan taasub mengisi perbincangan. Kekadang asasnya ialah taasub terhadap ideologi dan kekadang asasnya adalah sentimen perkauman dan ada juga yang semacam berpegang pada toleransi yang tidak berprinsip.
Ada satu alasan yang menyebabkan pertelagahan ini Tidak akan selesai iaitu semua penganut ideologi parti-parti ini benar-benar 'menganut' secara zahir semua polisi dan dasar parti mereka. Maksudnya ialah...Pertama, Menganut bererti memegang secara kuat, tekad, kemas yang menyamai 'beriman' dengannya. Kedua, secara zahir bererti tidak memahami 'hati' dan niat dasar dan polisi tersebut.
Perbezaan polisi dan dasar sesebuah parti antara satu sama lain bukanlah satu masalah sehingga ia bersifat muktamad dan tidak boleh bertolak ansur lagi.
Perbezaan ini adalah satu keistimewaan bukan satu kelemahan atau halangan. Formula yang ingin saya kemukakan disini akan memberi peluang kepada kedua-dua parti memperjuangkan ideologi masing-masing tanpa berlaku pertembungan. Tidak perlu Pas bertegang leher dan tak perlu Dap berkeras pedal untuk mempertahankan ideologi masing-masing.
Muqaddimahnya ialah :
SEMUA PARTI DALAM PAKATAN RAKYAT BOLEH MEMPERJUANGKAN IDEOLOGI MASING-MASING SELAGIMANA ADA RUANG YANG DIBERIKAN PERLEMBAGAAN.
Bermakna semua parti disatukan oleh perlembagaan. Implikasinya ialah: -
1. Pas akan melaksanakan cita-cita Negara Islam yang dinaskan dalam polisi Pas melalui ruang perlembagaan Negara. Panduannya begini...sebenarnya jika difahami segala peruntukan perlembagaan samada perkara 3, 11, senarai negeri dan lain-lain peruntukan dengan segala tafsirannya, percayalah, semua dasar Pas adalah berpeluang seluas-luasnya untuk dilaksanakan. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan pakar undang-undang Pas menggunakannya. Yang pasti Pas tidak perlu mengorbankan cita-citanya untuk melaksanakan 'Islamic state'.
2. Dap boleh melaksanakan idea dan cita-citanya berdasarkan apa yang termaktub dalam dasar parti selagimana ada ruang untuk Dap menggunakan peruntukan yang ada dalam perlembagaan. Bermakna, Dap dibenarkan untuk menjayakan polisinya bergantung kepada 'kebenaran' dan keizinan perlembagaan.
3. Pas tidak perlu mengubah perlembagaan dan Dap juga tidak perlu mengubah perlembagaan selagimana ia belum mencapai keperluan mendesak.
FORMULANYA : SEMUA PARTI DIIKAT DENGAN PERLEMBAGAAN.
Pas perlu sedar dan yakin dengan apa yang disebutkan oleh pakar perlembagaan, Prof. Dr. Aziz Bari bahawa dengan peruntukan yang ada sebenarnya telah memungkinkan hokum Islam dapat dilaksanakan seluas-luasnya. Tidak perlu Pas mengemukakan rasional dan kehebatan dengan hujah-hujah sebagaimana yang di debatkan sekarang kerana orang yang di debatkan itu sememangnya tidak mampu rasional pada masa ini. Ia hanya akan merumitkan keadaan. Pas sepatutnya mengkaji perlembagaan dan tubuhkan jawatankuasa undang-undang Pas yang diketuai oleh Prof. Dr. Aziz Bari untuk melihat ruang dan celah yang ada dalam perlembagaan yang membolehkan cita-cita Islam Pas dapat dilaksanakan tanpa perlu mengubah perlembagaan tersebut atau mengorbankan cita-cita Islamnya.
Dap pula tidak perlu mempertikaikan cita-cita Pas kerana apa yang dibuat oleh Pas adalah melalui kebenaran atau keizinan perlembagaan. Selagimana Pas mengikut perlembagaan Dap tidak boleh pertikaikan bahkan perlu menyokongnya atas dasar satu pakatan. Dap juga dibenarkan untuk melaksanakan dasarnya dengan menggunakan ruang yang ada melalui perlembagaan. Dan percayalah, bukan semua dasar Dap dapat dilaksanakan jika mereka memahami perlembagaan. Perlembagaan Negara sebenarnya banyak menyebelahi Pas.
Pas juga perlu terima 'Malaysian Malaysia' sebagai satu prinsip yang tidak bertentangan dengan Islam bahkan jika diberi tafsirannya dengan cara Islam ia memang berpegang pada prinsip keadilan Islam yang sebenar.
Sebagai pedoman bagi Pas, perlembagaan bukanlah satu 'Dustur' yang dianggap anutan atau kepercayaan yang melibatkan sah dan batalnya iman seseorang tetapi ia hanya satu platform. Bermakna ia hanya lah sebagai jalan, laluan, kaedah, dan hikmah yang di sebutkan oleh Rasulullah ' kutiplah kebijaksanaan dimana yang kamu jumpa'. Inilah yang menjadi pedoman Presiden Pas ketika menjelaskan kedudukan demokrasi dalam Islam.
Saya secara peribadi begitu yakin formula ini mampu menyatukan Pas dan Dap. Hanya satu tali sahaja yang mampu mengikat kedua-dua parti ini iaitu PERLEMBAGAAN.
Kesannya, tidak akan berlaku Pas memaksa Dap menganut ideologinya , begitu juga Dap takkan dapat berkeras dengan Pas untuk mengorbankan dasar ' Islamic state' nya.
Kesimpulannya. ..'Islamic state boleh dijayakan dengan perlembagaan' . 'Malaysian Malaysia juga mempunyai ruangnya melalui perlembagaan' .
Semoga Pakatan Rakyat menerima idea ini sebagai langkah perpaduan yang dicari. Inilah jalannya...HARAP DIPERTIMBANGKAN SEMUA PIMPINAN PARTI PAKATAN RAKYAT
Sumber : zamankhan