Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Selasa, 12 Ogos 2008

Remaja Perlukan Bekalan Akhirat - Ustaz Zainudin Hashim

PERSOALAN mati memang fobia dan trauma kepada semua lapisan masyarakat, bangsa dan budaya.

Kebimbangan seseorang tidak kira usia, sama ada yang menjangkau 60 tahun ke atas, atau yang masih dalam lingkungan usia belasan hingga 20-an.

Mati pun tidak kenal usia atau bangsa, ia akan menemui seseorang itu sama ada dia bersedia atau pun tidak.

Mati juga tidak boleh ditunda hingga ke suatu waktu yang tidak diketahui oleh sesiapa, kerana adalah satu hakikat yang akan menjelma pada bila-bila masa seperti yang ditegaskan dalam al-Quran menerusi ayat 78 surah an-Nisa yang bermaksud: "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh."

Ada manusia yang mati kerana sakit tua, ini adalah lazim berlaku kepada mereka, ada pula yang mati kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tidak kurang yang mati kerana sedang berseronok-seronok di taman-taman bunga, di padang bola, stadium kerana menyaksikan konsert hiburan, di studio-studio, sedang menonton wayang, sedang bermesyuarat dan bermacam-macam lagi karenah manusia yang cenderung kepada dunia yang melalaikan.

Sementara bagi golongan remaja pula, seolah-olah mati tidak ada dalam kamus hidup mereka. Sebab itu mereka lebih cenderung kepada program-program dunia yang menjurus kepada tidak mengingati Allah, hari akhirat, persediaan dalam alam kubur, persoalan Munkar dan Nakir dan sebagainya.

Malah ada antara mereka dengan sikap ego menegaskan bahawa masa muda inilah perlu dihabiskan untuk bersuka ria (enjoy), nanti kalau sudah tua barulah bertaubat.

Media kini sudah melampau

Justeru, konsep taubat dalam konteks hari ini seolah-olah hanya tertumpu kepada golongan yang sudah berkaki tiga (bertongkat) , yang bongkok, yang terlantar di hospital.

Ini berlaku kerana tiada kesungguhan pihak berkuasa, lebih tepat golongan pemerintah atau penguasa tidak mengadakan penerangan padu lagi jitu mengenai kefahaman agama sekali gus membimbing remaja mencintai ajaran agama.

Akhbar-akhbar arus perdana, program televisyen sama ada yang dimiliki kerajaan apatah lagi yang dimiliki swasta banyak memuatkan agenda hiburan, sukan melampau seolah-olah membayangkan mentaliti perancang agenda berkenaan cenderung kepada aspek-aspek yang telah disebutkan.

Tetapi persoalan utama di sini, ialah bagaimana pula jika Allah SWT mematikan pada usia muda, apakah mereka sudah bersedia dengan bekalan amalan yang diperintahkan kepada mereka untuk dilaksanakan?

Kita semua sedar bahawa persekitaran yang melingkungi diri kita pada hari ini bukanlah persekitaran Islam yang boleh dibanggakan, walau pun terdapat pihak tertentu menyifatkan kita sudah berada dalam sebuah negara yang mengamalkan Islam.

Kalau itu yang didakwakan pihak tertentu, maka bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur bersih daripada kawasan pelacuran yang membimbangkan.

Tetapi kita nak tanya mereka yang mendakwa demikian, Islam yang macam mana? Islam hakikikah? Islam Hadharikah? Islam Liberalkah? Islam Pluralismekah?

Tapi yang kita tahu, Islam tidak dilaksanakan dalam negara Malaysia ini menurut hukum syarak, sama ada hudud, qisas ataupun takzir, yang ada semua bohong belaka.

Kalau betul Islam dilaksanakan, kenapa mak menteri masih tidak bertudung, menutup aurat itukan perintah Allah, sesiapa yang melanggarnya berdosa besar. Undang-undang Islam juga tidak dilaksanakan dalam pentadbiran negara, macam-macam lagi dakwaan yang tidak berasas.

Konsep hiburan yang mengelirukan

Pokoknya di sini, jika pemerintah tidak minat untuk menyedia, merancang, program-program agama khusus buat remaja, maka tidak hairan gejala songsang yang menyalahi konsep agama Islam sebenar akan pudar dan musnah, ini sebagai permulaan ke arah untuk lebih tidak bersedia dengan bekalan, amalan untuk hari akhirat.

Kalau benar pihak tertentu khususnya kerajaan mahu menyelamatkan golongan remaja, mereka sepatutnya membatalkan segera segala program berbentuk hiburan keterlaluan, jadi tidak ada lagi selepas ini JomHeboh yang melalaikan, Akademi Fantasia, One in the Million, konsert goyang gerudi Inul, Mentor dan macam-macam lagi.

Sekarang timbul pula program realiti 'Akademi Nasyid'. Banyak pihak keliru dengan konsep, pendekatan dan penampilan peserta yang bertanding, apa yang dapat umum simpulkan, nasyid akan membawa lagu-lagu berkonsepkan kesedaran, sama ada berpaksikan tauhid ketuhanan, peranan serta tugas para Anbiya�, berkorban untuk agama, mengajak umum untuk beribadat, bersatu-padu dan sebagainya.

Tetapi ada yang tidak kena dengan program realiti berkenaan, penampilan peserta lelaki yang berambut panjang, amat tidak sinonim dengan persembahan nasyid seperti yang difahami umum.

Peserta perempuannya pula 'bertabarruj' atau bersolek sama seperti artis pop wanita lain, persoalannya di sini, apakah kewujudan program itu adalah untuk mengimbangi 'Akademi Fantasia' yang sudah masuk musim keenam 'jahanam', atau ada perkara yang tersirat.

Apapun ia masih terbuka untuk dikritik, kerana yang penting setiap program yang disediakan seumpama itu, matlamatnya adalah golongan remaja adalah sasaran tepatnya.

Jika ia tidak menepati tuntutan dan ruang lingkup agama, ia mungkin akan jadi 'back fire' kepada penganjur dan institusi agama dalam negara di semua peringkat, malah tidak sedikit pun mengingatkan mereka dengan 'mati'.

Remaja perlu mengingatkan diri

Ingatlah, bahawa baik remaja, maka baiklah masa depan negara dan sebaliknya jika rosak remaja maka rosaklah negara, agama dan bangsa, apabila manusia sudah roboh harga diri dan maruah mereka, usah kita bermimpi untuk mampu membina mereka pada waktu yang singkat, kerana manusia bukan bangunan yang boleh kita rancang tempoh untuk dibangunkan.

Justeru, wahai adik-adik remajaku sekalian! Walaupun ada pihak tertentu tidak bersungguh untuk mengingatkan remaja tentang persoalan mati, para remaja perlu mengingatkan diri mengenainya, kerana kematian akan menemui mereka tanpa diduga.

Jadilah remaja seperti yang pernah ditegaskan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah amat bangga (kagum) dengan golongan remaja yang tiada dalam diri mereka ciri-ciri kejahatan."

Ketahuilah, bahawa yang menjayakan program Islam pada zaman baginda Rasulullah s.a.w., majoriti terdiri daripada golongan remaja. Apakah mereka tiada kecenderungan untuk berhibur, atau dengan lain perkataan tidak mahu 'enjoy' pada usia demikian.

Mereka pun mempunyai cita-cita seperti remaja hari ini, cuma yang membezakan ialah kesanggupan mereka berkorban untuk meninggikan syiar-syiar Islam, sanggup mati demi untuknya.

Maka lahirlah slogan yang cukup tersohor untuk dikongsikan bersama remaja hari ini, iaitu Allah matlamat hidup kita, Rasulullah contoh teladan kami, al-Quran perlembagaan hidup kami, berjihad cara hidup kami dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami.

Motivasi al-Quran: Ayat-ayat mengenai kejayaan remaja

APA dimaksudkan kejayaan yang diraih golongan remaja, adalah dari sudut pegangan kuat mereka terhadap agama, memiliki kekentalan iman dan akidah yang tidak mudah goyah ketika berhadapan dengan sesuatu isu, sama ada godaan yang datang daripada wanita, habuan kekayaan yang bersifat sementara dan pelbagai isu lain.

Sifat-sifat ini pernah dimiliki oleh remaja atau pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang diceritakan Allah dengan terperinci dalam satu surah yang juga dikenali dengan al-Kahfi yang bermaksud gua, iaitu para pemuda yang tertidur dalam gua selama 300 tahun kerana lari daripada kezaliman raja yang menindas rakyatnya.

Allah menceritakan tentang mereka menerusi ayat 9-14 surah al-Kahfi maksudnya: "Adakah Engkau menyangka (Wahai Muhammad), Bahawa kisah 'Ashaabul Kahfi' dan 'Ar-Raqiim' itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaan Kami? (9)

"(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada Kami untuk keselamatan agama kami". (10)

"Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (11).

"Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka Yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). (12)

"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (13)

"Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan Yang Mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh daripada kebenaran." (14)

Remaja perlu rujuk nasihat Luqman al-Hakim

Begitu juga dengan pemuda Ashabul Ukhdud yang memiliki kekuatan akidah hingga sanggup berkorban demi kepentingan agama dengan menyeru orang ramai supaya menerima Islam sebagai pegangan mereka hingga ke akhir hayat.

Dengan izin Allah SWT seluruh penduduk yang diperintah oleh seorang raja yang sangat zalim menerima Islam hasil penyampaian yang dilakukan seorang pemuda yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Cerita mengenai mereka boleh dirujuk menerusi ayat pertama hingga ayat terakhir iaitu ayat 22 daripada surah al-Buruj, ia amat memberi kesan yang amat mendalam kerana kesanggupan mereka berhadapan dengan kuasa toghut walau pun terdiri daripada satu kaum dengan kekuatan iman kepada Allah SWT.

Dalam kesempatan ini, paling penting ialah remaja perlu merujuk nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya bagi meniti kejayaan sebenar, nasihat-nasihat yang disampaikan itu antara lain:

1- Bersyukur kepada Allah.
2- Tidak melakukan syirik kepada-Nya.
3- Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
4- Menunaikan solat.
5- Menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.
6- Bersabar terhadap ujian yang menimpa diri.
7- Tidak bertindak sombong dan angkuh kepada manusia.
8- Besederhana ketika berjalan (tidak terlalu cepat atau lambat).
9- Merendahkan suara ketika bercakap.

Demikianlah petua atau kunci kejayaan seseorang remaja yang dirakam Allah menerusi kitab-Nya yang menjadi pedoman kepada seluruh bangsa manusia hingga berlakunya hari Kiamat