Tue Jul 15, 08 6:08:54 pm MYT
KOTA BHARU, 15 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bimbang kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berunding dengan PAS berhubung isu kepentingan Islam dan Melayu dijadikan sebagai perangkap kedua. -->
"Saya bimbang benda ini jadi seperti perangkap. Dahulu kita sudah masuk perangkap dan tidak kan hendak masuk perangkap pula.
"Umno minta hendak bergabung (runding) ketika dia dalam keadaan terdesak. Pengalaman 13 Mei 1969 di mana Umno terdesak benar-benar jadi dia minta hendak bergabung dengan PAS.
"Sekarang Umno sekali lagi terdesak sungguh sehingga sudah hilang majoriti dua pertiga di parlimen dan parti itu juga diserang bermacam-macam dalam blog," katanya kepada media di kediamannya di Pulau Melaka, hari ini.
Perdana Menteri hari ini dilaporkan menyambut baik cadangan Presiden PAS untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.
Abdullah berkata parti itu sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kenyataan kesediaan Perdana Menteri hendak jumpa dengan pemimpin PAS itu hanya bersifat peribadi.
"Kalau kita hendak muzakarah, kena parti dengan parti dan bukan peribadi tertentu sahaja. Pemimpin Umno sekarang dalam keadaan terhoyong-hayang.
"Orang di bawah dagu Umno pun sudah mendesak Perdana Menteri berundur, sudah lama timbul isu tersebut dan Datuk Seri Abdullah telah tetap tarikh hendak berundur.
"Benda-benda begini saya teringat balik cerita semasa Allahyarham Tun Razak meminta bersatu dengan PAS dalam keadaan mereka begitu tertekan," ujarnya.
Beliau berkata, perkara itu berlaku dalam keadaan pemimpin Umno yang beriya-iya hendak bersatu dengan PAS.
Menurutnya ketika itu Tun Razak Hussien yang mempelawa hendak bersatu dengan PAS sehingga PAS akhirnya berpecah tiga.
Sedangkan kata beliau Tun Razak seorang tokoh yang kukuh pendiriannya dan sehingga sekarang pun tiada orang berani mencemuhnya.
Beliau juga berkata, sebagai pejuang Islam tiada niat hendak berbalah dan melawan sesiapa kerana kita yakin Islam itu betul.
"Kami hendak benar-benar diadakan muzakarah, namun jangan pula berulang sejarah hitam yang lepas.
"Saya setuju perjumpaan di antara Datuk Seri Abdullah dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, tetapi biar kemaslah. Bagaimanapun saya tidak nampak Umno boleh kemaskan dirinya," kata beliau.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, selepas pilihan raya umum lalu nampak sangat Umno begitu lemah, namun masih lagi angkuh sehingga menarik balik projek pelancongan bernilai RM8 juta di bandar baru Pasir Mas.
Katanya, tidak masuk akal kalau Umno benar-benar ikhlas tetapi dalam masa yang sama menarik balik kelulusan projek tersebut yang hanya bernilai RM8 juta dan bukannya RM8 bilion.
Beliau berkata, kerajaan negeri susah payah mencari tanah untuk membina projek tersebut, tiba-tiba kerajaan pusat menarik balik.
Biar pun dianggap orang berprasangka buruk terhadap pemimpin Umno, namun katanya, biarlah mereka meminta maaf sungguh-sungguh kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan.
"Minta maaf tidak pernah dilakukan pemimpin Umno. Dan kedua mengapa tarik balik peruntukan kepada Kelantan, nampak sangat ego dia,"ujarnya.
Sementara itu, seorang pemimpin di Kelantan memberitahu tidak pernah ada sebarang keputusan dibuat PAS untuk diadakan pertemuan dengan Umno dalam masa terdekat ini. - mj/mks. _