Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Jumaat, 18 Julai 2008

Polis buat kerja gila - Mohd Sabu

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Pihak polis sengaja menimbulkan suasana ketegangan sebagai provokasi dengan mengadakan sekatan jalan raya dalam kehangatan isu liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ura-ura usaha Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat. -->
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar tindakan pihak polis yang disifatkan mengadakan sekatan jalan raya yang tidak perlu dan tidak menitik beratkan kesan dan masalah yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya akibat sekatan tersebut.
"Ini semua kerja gila, dan sengaja diada-adakan atau mungkin polis sudah tiada kerja lain yang hendak dibuat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Mengulas mengenai dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengenai kemungkinan suatu perhimpunan akan dianjurkan dalam masa terdekat, beliau dengan tegas menafikannya.
"Kita (PAS) tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan perhimpunan buat masa ini.
"Bahkan sekiranya hendak diadakan perhimpunan pun, polis buat sekatanpun perhimpunan tetap boleh dijalankan," ujarnya.
Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu turut menjelaskan perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November tahun lalu membuktikan sekatan jalan raya tidak memberikan apa-apa kesan kepada 'kekuatan suara hati dan kehendak' rakyat untuk menyampaikan hasrat mereka.
Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula menyifatkan tindakan polis mengadakan sekatan yang masih berterusan itu sebagai tidak bertanggung jawab serta menyusahkan rakyat.
"Ini satu perkara yang tidak masuk akal dan tidak bertanggung jawab," tegasnya.
Ahli Parlimen Batu itu melahirkan kehairanan terhadap pendirian dan tindakan pihak polis yang kelihatan sudah mula tersasar daripada peranan dan tanggung jawab mereka yang sebenar.
"Kerja polis bukan buat sekatan kerana ia tidak akan membantu apa-apa malah operasi tersebut akan melibatkan anggota polis yang ramai," ujarnya.
Dalam suasana indeks jenayah negara kian meningkat khususnya di Lembah Klang, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sekatan tersebut yang telah memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.
"Apa yang berlaku menyebabkan orang ramai marah kerana ia menyusahkan.
"Mereka tidak mempertimbangkan kesan apabila para peniaga terjejas pendapatannya, selain pengguna jalan raya yang mengejar urusan kerja masing-masing," katanya lagi.
Memburukkan lagi keadaan, pihak polis katanya mengambil keputusan menjalankan sekatan jalan raya dengan menggunakan khabar angin semata-mata.
"Itulah lambang tahap profesional dan integriti polis kita," ujarnya.
Semalam, menurut Khalid, sekatan jalan raya di 22 lokasi di seluruh negeri dibuat bagi membendung kecenderungan pihak tertentu mengadakan perhimpunan tanpa permit.
Selain mencegah jenayah, beliau berkata, sekatan jalan yang sentiasa berubah lokasi itu perlu bagi memastikan tidak ada elemen tidak sihat yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan masyarakat khususnya di Selangor.
"Saya sedar sekatan jalan ini menimbulkan ketidakselesaan tetapi saya mohon maaf. Ini membabitkan keselamatan, jadi kita perlu beri perhatian," katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Beliau ditanya mengenai sekatan jalan raya menghala ibu negara yang menyebabkan kesesakan teruk sejak Isnin lalu.
Dilaporkan lebih 1,600 pegawai dan anggota membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Anjing Pengesan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Berkuda dan Unit Udara dikerah mengawal semua pintu masuk ke ibu kota.
Khalid berkata, walaupun Anwar Ibrahim dibebaskan semalam, polis tidak menolak kemungkinan penyokongnya mungkin mengadakan perhimpunan dalam tempoh terdekat. - mns _