Apabila Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam membuka mulut, mengatakan sudah wujud perubahan pandangan daripada parti pembangkang itu (PAS) dalam mencari persefahaman demi kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini, menunjukkan dia tidak tahu sejarah PAS sebenarnya. -->
Kenyataan ini dibuat Mohd Ali yang juga Ketua Menteri (KM) Melaka, selepas merasmikan persidangan tahunan berkelompok cawangan Umno Bahagian Bukit Katil, di Melaka.
Di kalangan pemimpin Umno, Mohd Alilah satu-satunya pemimpin yang dilihat 'mahu memusuhi PAS' dengan mengeluarkan arahan suatu ketika dahulu, melarang 'orang Melaka' melawat Kelantan yang diperintah PAS.
Namun, 'sekali air bah, sekali pantai berubah'. Apabila Presiden Umno yang juga Perdana Menteri (PM) sendiri menyambut baik hasrat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk 'bertemu dan bermuzakarah' banyak pihak di dalam Umno, nampaknya ?positif? walaupun mereka seperti teraba-raba di dalam gelap.
Mohd Ali merupakan satu-satunya pemimpin Umno yang cukup dibimbangi oleh ahli-ahli parti apabila membuat komentar.
Dia juga dilihat seorang pemimpin yang cukup kurang kemampuan untuk berucap dan menjelaskan isu yang diperbahaskan.
Tidak hairanlah, apabila bekas KM Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkali-kali mencadangkan 'diadakan debat terbuka' antara calon-calon yang mahu bertanding jawatan Presiden, timbalan Presiden dan naib Presiden, ramai yang beranggapan Rahim cuba untuk 'membandingkannya' kebolehannya dengan Mohd Ali dalam perdebatan.
Dalam masa yang sama, Mohd Ali merupakan salah seorang pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan Debat antara Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dengan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim walaupun, dalam masa yang sama PM mengatakan persetujuannya.
Mohd Ali mungkin 'fobia' dengan perkataan 'debat' kerana dia tidak berkemampuan berbuat demikian.
Justeru, hasrat murni Presiden PAS itu sebenarnya 'untuk menyelamatkan Umno?' yang dilihat terumbang ambing sekarang, dan sejarahnya PAS yang bukan sekali 'menyelamatkan orang-orang Umno' yang bermasalah tidak dapat 'dilihat dan dibaca' oleh Mohd Ali.
Itulah sebabnya, dalam perkata berkaitan, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bersetuju cadangan Abdul Hadi, mengingatkan 'pengalaman pahit' berkawan dengan Umno kerana sejarah terdahulu.
Mohd Ali seharusnya tahu, apabila Umno (Perikatan) bermasalah dalam pilihan raya umum (PRU) tahun 1969, PAS sanggup berkorban dengan menyertai Perikatan tetapi dikeluarkan dari pakatanitu dalam tahun 1978, oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn.
Apakah Mohd Ali tidak ingat, bagaimana dalam tahun 1987, apabila Tengku Razaleigh Hamzah tewas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merebut jawatan Presiden Umno, PAS menerima kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (S 46) yang diketuai Ku Li, yang ketika itu tidak dibenarkan menyertai Umno?
S 46 kemudiannya meninggalkan PAS atas alasan sendiri dan kemudiannya membubarkan parti itu, untuk ahli-ahlinya menyertai Umno kembali.
Apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno, pemimpin PASlah yang pertama sekali menghulurkan tangan membela Anwar dengan menjelajah ke seluruh negara, selain memberikan ruang seluas-luasnya di dalam Harakah, untuk Anwar dan rakan-rakannya 'membela diri'.
Mohd Ali mungkin tidak tahu semua ini, atau terasa Umno masih terlalu kuat untuk 'bermuzakarah' sedangkan kepimpinan PAS sudah nampak, Umno mungkin 'dalam keadaan bahaya' jika terus bersendiri tanpa 'kawan' yang sebangsa dan seagama.
Percakaran sesama sendiri dalam komponen BN, usul undi tidak percaya dari PKR, krisis yang melanda MIC, Gerakan dan MCA, menyebabkan Umno makin ?kurus? (baca: lemah) dari segi sokongan.
Memetik kata-kata Abdullah; "Umno sedia bermuzakarah dengan PAS bagi mencari titik persefahaman antara kedua-dua parti itu demi kepentingan Islam dan orang Melayu," membuktikan Abdullah nampak keperluan itu tetapi malangnya, Mohd Ali hanya nampak wujud perubahan pandangan daripada parti pembangkang itu dalam mencari persefahaman demi kepentingan Melayu dan umat Islam di negara ini.
Abdullah seterusnya berkata; "bagi saya langkah ini amat penting kerana ia boleh menyelesaikan banyak isu khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.
"Kedua-dua parti seharusnya mengelakkan sebarang perbalahan jika timbul isu dan masalah membabitkan kepentingan bersama.
"Saya terima baik hasrat PAS untuk berunding atau berbincang mengenai apa jua yang saya fikir perlu diwujudkan persefahaman antara kedua-dua parti ini," Abdullah mengulas kesediaan PAS yang dinyatakan Ustaz Abdul Hadi dalam wawancara dengan lidah rasmi parti, Harakah.
Dalam wawancara itu, Abdul Hadi dengan nada tegas menyatakan dalam menyampaikan mesej Islam, PAS berhak mengadakan rundingan dengan Umno tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang.
Abdullah seterusnya yakin jika PAS dan Umno Berjaya membentuk persefahaman, beliau yakin ia akan memberi banyak manfaat kepada Islam dan Melayu.
Sebenarnya, langkah Dato' Mustafa Ali di Terengganu yang mengadakan pertemuan khas dengan MB Terengganu untuk membincangkan kepentingan rakyat Terengganu harus dicontohi pemimpin-pemimpin lain, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, untuk mengadakan pertemuan dengan MB Kedah. - mr_